Surah Al-Maa’idah - (Hidangan) سورة المائدة - mempunyai
120 ayat; termasuk golongan dalam surah Madaniyyah. Sekalipun ada
ayatnya yang turun di Mekah, namun ayat ini diturunkan selepas Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Madinah,
iaitu pada waktu haji wadaa'. Surah ini dinamakan Al Maa'idah
(hidangan) kerana memuatkan kisah pengikut-pengikut setia Nabi Isa a.s.
meminta kepada Nabi Isa a.s. agar Allah menurunkan untuk mereka Al
Maa'idah (hidangan makanan) dari langit (ayat 112). Dan dinamakan Al
Uqud (perjanjian) kerana kata itu terdapat pada ayat pertama surah ini
dimana Allah menyuruh agar hamba-hamba-Nya memenuhi janji mereka
terhadap Allah dan perjanjian-perjanjian yang mereka buat sesamanya.
Dinamakan juga Al Munqidz (yang menyelamatkan), kerana akhir surat ini
mengandungi kisah tentang Nabi Isa a.s. penyelamat pengikut-pengikut
setianya daripada azab Allah.
Isi Kandungan
1. Keimanan: Bantahan terhadap orang-orang yang mempertuhankan Nabi Isa a.s.
2. Hukum-hukum: Keharusan menunaikan janji; hukum melanggar syiar
Allah; makanan yang dihalalkan dan diharamkan; hukum mengahwini ahli
kitab; wudhu'; tayammum; mandi; hukum membunuh orang; hukum mengacau dan
mengganggu keamanan; hukum qisas; hukum melanggar sumpah dan
kafaaratnya; hukum memburu binatang pada waktu ihram; hukum persaksian
dalam berwasiat.
3. Kisah-kisah: Kisah-kisah Nabi Musa a.s. menyuruh kaumnya memasuki Palestin; kisah Habil dan Qabil, kisah-kisah tentang Nabi Isa a.s.
4. Dan lain-lain: Keharusan bersifat lemah lembut terhadap sesama
mukmin bersikap keras terhadap orang-orang kafir; penyempurnaan Agama
Islam pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.; keharusan bersikap jujur dan
berlaku adil; sikap dalam menghadapi berita-berita bohong; akibat
berkawan rapat dengan orang yang bukan muslim; kutukan Allah terhadap
orang-orang Yahudi, kewajipan rasul hanya menyampaikan agama; sikap
Yahudi dan Nasrani terhadap orang Islam; Kaabah panduan hidup manusia;
peringatan Allah supaya meninggalkan amalan Arab jahiliyah;
larangan-larangan terhadap pertanyaan-pertanyaan yang mengakibatkan
kesempitan dalam agama.
0 comments:
Post a Comment